Monday, February 17, 2014

BUKU TEKS DIGITAL DILANCAR


Idris Jusoh (kiri) bersama Abdul Ghani Mohamad Niza memerhatikan murid Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(1), Khairil Isqander Ab. Rashid menggunakan buku teks digital pada majlis pelancarannya di Petaling Jaya, semalam.

KUALA LUMPUR 7 Feb. – Kementerian Pendidikan melancarkan buku teks digital bagi menggantikan buku teks bercetak secara berperingkat seperti dirancang dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, penggunaan buku teks digital yang mengandungi teks dan grafik itu akan dilaksanakan secara bertahap-tahap di semua sekolah bermula tahun ini.

Jelasnya, pengenalan buku teks digital itu juga merupakan salah satu proses pembangunan dalam meningkatkan sistem pendidikan negara untuk mencapai tahap yang baik di peringkat dunia.

“Kita memberi penekanan kepada pembelajaran kendiri yang mana pelajar boleh mengakses buku teks digital ini pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

“Kementerian telah pun memuat naik 313 judul buku teks yang boleh diakses secara percuma melalui portal 1BestariNet menggunakan pengenalan diri (ID) yang telah dibekalkan kepada semua guru dan murid,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancar buku teks digital di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Nazir dan Jaminan Kualiti Kementerian Pendidikan, Datuk Misrah Ibrahim; Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia, Suliaman @ Sulaiman Wak dan Pengarah Bahagian Buku Teks Kementerian Pendidikan, Abdul Ghani Mohamad Niza.

Dalam pada itu, Idris memberitahu, penggunaan buku teks bercetak masih dikekalkan buat masa ini.

“Sekarang masih di peringkat permulaan dan akan terus dikembangkan sehingga boleh digunakan sepenuhnya oleh pelajar di seluruh negara.

“Kita menjangkakan kemudahan itu akan dapat dilaksanakan lebih awal daripada tempoh yang dinyatakan sebelum ini,” ujarnya.

Sementara itu, ditanya tentang laporan polis yang dibuat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Negeri Sembilan kononnya kaji selidik yang menyentuh soal kesihatan seksual dan reproduktif telah dijalankan di sebuah sekolah rendah di Nilai, Idris menjelaskan perkara itu belum dapat dipastikan.

“Pihak kami telah dimaklumkan tentang laporan itu tetapi kita masih menunggu maklumat lanjut daripada Jabatan Pendidikan Negeri,” jelasnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140208/dn_05/Buku-teks-digital-dilancar#ixzz2tGU1zX3Y
© Utusan Melayu (M) Bhd

0 comments:

Post a Comment

Berita Terkini
Loading...
Hantar Mesej
Press Esc to close
Hak Cipta © 2014 UNIT TMK SK SERI TASIK Hak Cipta Terpelihara